Wednesday, February 28, 2007

Membina Istana Di Syurga

عن عثمان بن عفان يقول، إني سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول: (من بنى مسجدا يبتغي به وجه الله، بنى الله له مثله في الجنة).


Daripada Uthman bin`Affan katanya sesungguhnya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang membina masjid ikhlas kerana Allah, Allah akan membina untuknya rumah seperti itu di dalam syurga. (al-Bukhari: 439, Muslim: 533)


Setiap orang mengimpikan untuk memiliki kediaman sendiri yang indah dan selesa supaya dia mendapat merehatkan diri dan mendapatkan ketenangan. Bagaimana pun sesetengah orang, disebabkan kemampuan kewangan yang tidak mencukupi tidak dapat memenuhi impiannya.

Yang hanya dimiliki adalah tenaga. Membina masjid dalam hadis di atas merangkumi pembinaan dengan modal benda dan modal tenaga manusia. Masing-masing mempunyai peranan dan sumbangan.


Di sini Rasulullah s.a.w. menarik perhatian umatnya supaya melihat ke hadapan yang lebih jauh lagi. Bagaimana sepatutnya setiap mukmin itu memiliki istananya sendiri di dalam syurga. Kekecewaan dengan kehidupan dunia tidak sepatutnya menghalang seseorang berusaha untuk kehidupan akhirat.


Rumah atau istana di syurga tentunya tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana istana di dunia. Keindahan dan kemewahan syurga yang tidak dapat dibayangkan


Hadis ini mengandungi isyarat supaya orang mukmin mengingati negeri asal sendiri. Dari mana kita datang ke situlah kita akan kembali. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. sentiasa menyeru hamba-hamba-Nya kepada kembali ke syurga. Allah s.w.t. berfirman:

وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى دَارِ السَّلَامِ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ


(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia) dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu). (surah Yunus: 25)


Dalam riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. menyebutkan tujuan pembinaan masjid. Masjid hendaklah dibina sebagai tanda mengingati Allah, memakmurkannya dengan ibadat dan ketaqwaan bukan untuk berbangga dan bermegah-megah. Sabda baginda:

عن عمر بن الخطاب؛ قَالَ: سمعت رَسُول اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ يقول ((من بنى مسجداً يذكر فيه اسم الله، بنى اللَّه له بيتاً في الجنة)).

Daripada Umar bin al-al-Khattab katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang membina masjid yang diingati padanya nama Allah, Allah akan binakan untuknya sebuah rumah di dalam syurga. (Ibn Majah, no: 735)


Sebagaimana jumlah tidak menjadi syarat dalam bersedekah begitu juga dalam pembinaan masjid, saiz bukan menjadi ukuran tetapi keikhlasan. Sabda baginda:

عن جابر بْن عَبْد اللّه؛ أن رَسُول اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ قال ((من بنى مسجداً لله كمفحص قطاة، أو أصغر، بنى اللَّه له بيتاً في الجنة)).


Daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang membina masjid kerana sebesar sarang burung atau lebih kecil lagi, Allah akan binakan untuknya sebuah rumah di dalam syurga. (Ibn Majah, no: 738)


Hadis ini bukan untuk menyatakan saiz sebesar itu bagi masjid kerana ruang sekadar itu tidak boleh untuk bersembahyang padanya. Apa yang ditekankan oleh hadis ini ialah pahala membina masjid tetap sabit walaupun masjid itu kecil, biar sebanyak mana sumbangan kita.


Hadis-hadis di atas juga mengisyaratkan di sebalik pahala sebegitu besar ini adanya peranan institusi masjid dalam sesebuah masyarakat. Oleh kerana itulah, setibanya Rasulullah s.a.w. ke Madinah, baginda merencanakan untuk mendirikan masjid sebagai pusat kegiatan umat Islam. Setelah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, baginda mengukuhkan lagi ikatan masyarakat baru itu dengan tautan aqidah, syariat dan akhlak.

Semua ini terpancar dari roh dan sinar masjid. Persaudaraan bertambah erat dengan pertemuan sesama sendiri sekurang-kurang lima kali sehari tanpa ada pembeza dari segi darjat, keturunan dan kekayaan. Semuanya sama-sama datang sebagai hamba Allah. Mereka berada di peringkat yang sama dalam mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Bermula dari masjid dapat dirancang pelbagai kegiatan keilmuan, perekonomian dan kemasyarakatan.


Selain itu, ada beberapa hadis yang lain menyebutkan amalan-amalan lain yang membolehkan seseorang itu mendapat istana di dalam syurga. Antaranya ialah sembahyang sunat rawatib.

عن أم حبيبة تقول: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول "من صلى اثنتي عشرة ركعة في يوم وليلة، بني له بهن بيت في الجنة".

Daripada Ummu Habibah katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa bersembahyang 12 rakaat dalam sehari dan semalam, dibina untuknya sebuah rumah di dalam syurga. (Muslim, no: 728)


Dalam riwayat Aishah 12 belas rakaat itu adalah sunat rawatib.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهَا عَنِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: مَنْ ثَابَرَ عَلَى اثْنَتَىْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بَنَى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُ بَيْتاً فِى الْجَنَّةِ أَرْبَعاً قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ »


Daripada `Aishah daripada Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa sentiasa melazimi sembahyang 12 rakaat dalam sehari dan semalam, Allah s.w.t. akan binakan untuknya sebuah rumah di dalam syurga. 4 rakaat sebelum zuhur, 2 rakaat selepas zuhur, 2 rakaat selepas maghrib, 2 rakaat selepas isya’ dan 2 rakaat sebelum subuh. (riwayat al-Nasai’i no: 1795, al-Tirmizi, no: 414,Ibn Majah, no: 1140)


Amalan lain yang membolehkan kita memperolehi rumah di dalam syurga ialah meninggalkan perbalahan, berdusta dan melazimkan diri dengan akhlak yang mulia.

عن أبي أمامة قال: قال رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم: " أنا زعيمٌ ببيتٍ في ربض الجنة لمن ترك المراء وإن كان محقّاً، وببيتٍ في وسط الجنة، لمن ترك الكذب وإن كان مازحاً، وببيتٍ في أعلى الجنة لمن حسَّن خلقه".


Daripada Abi Umamah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Saya menjadi penjamin terhadap rumah di pinggir syurga kepada orang meninggalkan perbalahan walaupun dia yang betul, terhadap rumah di tengah-tengah syurga bagi sesiapa yang meninggalkan berdusta walaupun dalam bergurau senda dan terhadap rumah di bahagian atas syurga bagi sesiapa yang memperelokkan pekertinya. (Abu Daud, no: 4800)

Monday, January 29, 2007

Mencari Sedekah Yang Utama

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، أي الصدقة أعظم أجرا؟ قال: (أن تصدق وأنت صحيح شحيح، تخشى الفقر وتأمل الغنى، ولا تمهل حتى إذا بلغت الحلقوم، قلت: لفلان كذا، ولفلان كذا، وقد كان لفلان).

Daripada Abu Hurairah katanya, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Wahai Rasulullah, manakah sedekah yang lebih utama? Baginda bersabda: "Kamu bersedekah dalam keadaan kamu sihat dan tamak, mengharapkan kekayaan dan takutkan kefakiran. Jangan tangguhkan sehingga nyawa di halkum lalu kamu katakan, ini untuk si fulan, itu untuk si anu, sedangkan ia sudah menjadi hak si fulan itu. (hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sedekah merupakah salah satu hukum yang disyariatkan sejak umat yang terdahulu. Antara matlamat utamanya ialah mensucikan hati dari sifat bakhil dan membersihkan harta daripada terambil hak-hak orang lain. Kedua-dua matlamat ini merujuk kepada orang yang bersedekah. Manakala matlamat sedekah dengan merujuk kepada penerima ialah membersihkan hati mereka dari kedengkian terhadap orang kaya dan membantu kehidupan mereka yang susah dan tidak berada.

Hadis di atas lebih merujuk kepada mensucikan hati pemberi sedekah dari sifat bakhil. Nasihat dan panduan daripada Rasulullah s.a.w. supaya umatnya mengikiskan dari hati mereka sifat tamak kepada harta dan cinta dunia.

Sahabat sangat bersungguh-sungguh dalam mencari sesuatu yang utama kerana limpahan rahmat dan keberkatan ada di sebaliknya. Mereka sentiasa bertanya sesuatu yang terbaik dan ganjaran yang maksimun. Daripada sini, kita mengatakan merekalah golongan yang terbaik kerana sentiasa mencari-cari keutamaan.

Sesuatu kebajikan janganlah ditangguhkan kerana kesudahan perjalanan di dunia tidak diketahui. Walaupun kita mempunyai kesihatan yang baik, tidak sepatutnya leka dengan keadaan yang selesa. Kesenangan harta juga tidak berkekalan. Dalam ruang kekayaan yang ada, mestilah direbut segala pahala yang dijanjikan Allah.

Harta diciptakan Allah supaya menusia memanfaatkannya dalam menjalani tugas sebagai hamba-Nya dan khalifah di bumi ini. Harta dijadikan untuk dibelanjakan pada jalannya. Setiap manusia mempunyai keperluan yang tidak berada pada satu peringkat sebagaimana harta yang ada pada setiap orang tidak sama. Melalui kerjasama dalam bentuk infaq seperti sedekah dan zakat jurang ketidaksamaan itu dapat didekatkan.

Kebakhilan dengan harta boleh membinasakan diri begitu juga sikap boros dan membazir. Yang terbaik adalah bersederhana. Allah s.a.w. berfirman:

وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَى عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَحْسُورًا

Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. (al-Isra’: 29)

Sifat bakhil dilarang kerana ia menyekat harta daripada memainkan peranannya iaitu memenuhi keperluan manusia. Sementara boros dilarang kerana ia adalah satu bentuk penggunaan harta yang tidak bermatlamat.

Sedekah yang diberikan di ambang maut tidak mempunyai apa-apa kelebihan apatah lagi jika orang lain bersedekah untuk pihaknya. Semuanya tidak mempunyai makna kerana dalam keadaan demikian harta itu tidak lagi menjadi miliknya tetapi milik warisnya. Dalam hal ini Allah s.w.t. mengingatkan:

وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)

Pada masa itu sedekah itu bukan dilakukannya sendiri tetapi dilakukan oleh warisnya dengan hartanya.

Dalam hadis ini juga Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan gangguan yang biasa dialami oleh orang yang bersedekah iaitu mengharapkan kekayaan dan takutkan kefakiran. Gangguan ini tidak lain dan tidak bukan dari syaitan yang sentiasa membisikkan kejahatan dalam hati manusia. Semuanya akan dapat diatasi dengan meyakini ganjaran yang dijanjikan Allah. Sedekah tidak akan menjadikan seseorang itu faqir malah kebakhilan akan membinasakan diri manusia dan hartanya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

(ما من يوم يصبح العباد فيه، إلا ملكان ينزلان، فيقول أحدهما: اللهم أعط منفقا خلفا، ويقول الآخر: اللهم أعط ممسكا تلفا).

"Pada setiap hari manusia berada pada waktu pagi dua malaikat turun lalu seorang daripada mereka mengucapkan: "Ya Allah, berilah gantian kepada orang yang melakukan infaq" dan seorang lagi pula mengucapkan: "Berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan diri dari membelanjakan harta."

Biasanya dalam keadaan kesenangan dan sihat manusia sering melupakan kehidupan akhirat. Oleh itu, Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan kepada kita supaya sentiasa mengingati kematian dan bersedia untuk menghadapinya.

Tuesday, September 12, 2006

Memantapkan Keimanan Dengan Istiqamah

عن سفيان بن عبد الله الثَّقفي قال: قلت "يا رسول الله، قل لي في الإسلام قولاً لا أسأل عنه أحداً بعدك. قال: قل: آمنت بالله، ثم استقم" رواه مسلم.

Daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi berkata bahawasaya berkata: Wahai Rasulullah! Katakanlah kepadaku satu perkataan tentang Islam yang aku tidak perlu bertanya kepada orang lain. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ucapkanlah ‘aku beriman dengan Allah’ kemudian beristiqamahlah." (hadis riwayat Muslim)


Sahabat ini bertanyakan kepada baginda satu ucapan yang menghimpunkan segala kebaikan dan faedah yang membawa kejayaan abadi. Rasulullah s.a.w. telah dikurniakan oleh Allah s.w.t kemampuan untuk menyampaikan ucapan yang ringkas tetapi mengandungi maksud yang padat.


Baginda menasihatkannya tentang beriman dengan Allah s.w.t. yang merangkumi keseluruhan aqidah, amalan hati, penyerahan diri kepadaNya dengan perbuatan-perbuatan secara berterusan sampai akhir hayat yang dikatakan sebagai istiqamah. Hal ini selari dengan maksud al-Qur’an:


إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلا تَخَافُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata; ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhid, maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka tidak pula akan berduka cita. (Al-Ahqaf: 13)


Keimanan dan istiqamah ini akan menatijahkan keselamatan dari segala bahaya dan memperolehi keredhaan Allah dengan memasuki syurga. Nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah jelas menyatakan bahawa iman meliputi aqidah yang benar, amalan hati seperti keinginan kepada kebaikan dan membenci kejahatan, perbuatan anggota fizikal seperti solat, zakat, haji, menolong orang lain dan sebagainya.


Hadis ini menegaskan makna ayat di atas iaitu keimanan hendaklah dinyatakan dengan ucapan dan juga tubuh badan. Iman tidak memadai dengan keyakinan di dalam hati tanpa diisytiharkan dan didakwahkan kepada orang lain.


Begitu juga iman bukan sekadar ucapan yang bermain di bibir tetapi merangkumi amalan hati, lidah dan tubuh badan. Pada diri muslim ini zahirnya erti keimanan kepada Allah. Pernyataan sebagai beriman kepada Allah mestilah ditegaskan dan sentiasa diteguhkan.


Keteguhan dalam keimanan akan menentukan ketepatan dalam amalan-amalan iaitu dengan mengikhlaskan diri kepada Allah serta melakukannya menurut petunjuk Rasulullah s.a.w. Amalan-amalan ini akan menjadi lebih sempurna apabila dilakukan dengan penuh istiqamah dan keteguhan baik dalam apa jua kebaikan.


Halangan-halangan yang berlaku kepada seseorang tidak akan menyekatnya dari terus mengabdikan diri kepada Allah baik ketika sakit atau sihat, senang atau susah, dalam perjalanan atau di tempat sendiri. Ringkasnya, kita katakan, istiqamah merupakan tanda kesempurnaan amalan mukmin yang merangkumi hati, ucapan dan perbuatan.


Istiqamah menuntut seseorang itu menerima segala ajaran Islam mengikut apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. tanpa mengurangkan, menambahkan sesuatu yang bukan daripadanya, meminda-minda atau menukar ganti dengan yang lain. Sebagaimana yang diperintah itulah yang dilaksanakan.


فَلِذَلِكَ فَادْعُ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ

Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka wahai Muhammad kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka. (Al-Syura:15)


Dan sabda Rasulullah s.a.w.:

عن أبي هريرة. قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم "قاربوا وسددوا. واعلموا أنه لن ينجو أحد منكم بعمله" قالوا: يا رسول الله! ولا أنت؟ قال "ولا أنا. إلا أن يتغمدني الله برحمة منه وفضل".


Hendaklah kamu bersederhana dan tetap lurus beristiqamah dan ketahuilah seorangpun dari kalangan kamu tidak terselamat(dari neraka) dengan amalannya. Lalu sahabat bertanya: Anda juga wahai Rasulullah?, baginda menjawab: Ya, tidak juga saya melainkan Allah menyelimutiku dengan rahmat dan limpahan-Nya.(hadis riwayat Muslim)


Apa yang penting kita mesti berusaha sedaya usaha kita dalam keadaan mengharapkan rahmat dan kurniaan Allah s.w.t. kerana kita tidak ditugaskan dengan sesuatu hukum melainkan dalam batas kemampuan kita.


Sifat berterusan patut dikekalkan dan itu lebih baik daripada amalan yang banyak kerana semangat yang yang berkobar-kobar yang kemudiannya sepi tanpa penerusan. Ibarat air paip yang kecil lebih baik daripada curahan air setangki yang kemudiannya kering tidak ada walaupun setitik.


فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu (Al-Taghabun: 16)




يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (Ali `Imran: 106)


Ketaqwaan perlu diusahakan dan dikekalkan sehingga akhir usia kita sehinggalah kita meninggal dunia dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Kehidupan ini mesti ditempuhi dalam keadaan mengharapkan rahmat Allah dan rasa takut kepada-NYa. Tidak ada jalan lain untuk memperolehi husnul khatimah kecuali dengan meneguhkan keimanan dan beristiqamah di atas jalan hidayat dan taqwa selagi hayat dikandung badan.

Thursday, August 31, 2006

Membina Kekuatan Diri Dan Umat

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: «المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف، وفي كلٍ خيـر، احرص على ما ينفعـك، واستعن بالله ولا تعجز، وإن أصابك شيء، فلا تقل: لو أني فعلت كذا لكان كذا، ولكن قل: ما قدر الله وما شاء فعل، فإن لو تفتح عمل الشيطان

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah, pada masing-masing itu ada kekuatan. Bersungguh-sungguhlah terhadap perkara yang memberi manfaat kepada kamu. Mintalah pertolongan daripada Allah dan jangan lemah. Jika sesuatu menimpa kamu maka jangan kamu kata: kalau aku buat begini tentu akan jadi begini. Tetapi ucapkanlah Allah telah menentukan dan Dia telah lakukan apa yang Dia kehendaki, kerana sesungguhnya `kalau’ itu membuka peluang syaitan bertindak." (hadis riwayat Muslim, Ibn Majah dan Ahmad)

Seorang mukmin yang sejati memiliki keperibadian yang unggul. Dia dapat menghimpunkan dalam dirinya segala sifat-sifat kebaikan. Dia seorang yang berilmu, penyantun, penyabar, kuat, berani, pemurah, menjaga kehormatan diri, sanggup berjuang dan lain-lain lagi.

Hadis ini menegaskan salah satu sifat tersebut iaitu kekuatan. Kekuatan seorang mukmin tergambar dalam pemikiran, keimanan, keazaman, kehendak dan kesihatannya. Dengan memiliki kekuatan seseorang itu akan dapat melaksanakan segala perintah Allah dan menahan dirinya dari melanggar larangan-Nya di samping dia berusaha untuk menghalang sebarang maksiat yang berlaku di hadapannya. Sekiranya dia hanya berdiam diri terhadap kemungkaran di hadapannya tentu sekali keimanannya belum cukup kuat.

عن أبي سعيد قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول "من رأى منكم منكرا فليغيره بيده. فإن لم يستطع فبلسانه. ومن لم يستطع فبقلبه. وذلك أضعف الإيمان".

Daripada Abu Sa`id katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dengan lidahnya dan sesiapa yang tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)


Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya supaya melengkapkan diri dengan kekuatan dan menyuruh umatnya sentiasa berdoa supaya terhindar dari sifat lemah:

عن أنس بن مالك يقول:

كان رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم يقول: "اللهم إني أعوذ بك من العجز والكسل، والجبن والبخل والهرم، وأعوذ بك من عذاب القبر، وأعوذ بك من فتنة المحيا والممات".


Daripada Anas bahawa Rasulullah s.a.w. selalu berdoa: Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat penakut, kebakhilan, tua yang nyayuk. Dan aku berlindung dengan daripada azab kubur, dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian. (Hadis riwayat Abu Daud )

Kekuatan amatlah penting dalam kehidupan setiap individu muslim dan mereka sebagai satu umat. Oleh itu mereka dituntut untuk menyediakan dan mempersiapkan segala bentuk kekuatan untuk mendepani segala cabaran. Allah s.w.t. berfirman:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآَخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya." (al-Anfal: 60)


Jalan yang mesti dilalui untuk menjana kekuatan diri


‘Bersungguh-sungguhlah terhadap perkara yang memberi manfaat kepada kamu’ memberi isyarat betapa perlunya individu muslim mencari sumber kekuatan dirinya.


Antara sumber kekuatan yang boleh disebutkan di sini ialah:


Pertama, mengikhlaskan niat dalam segala tindak tanduk. Keikhlasan akan memberi kekuatan dan memudahkan kita melaksanakan perintah Allah s.w.t. dan menjauhi segala larangan-Nya.


Kedua, menafikan semua kekuatan selain dari kekuatan Allah. Inilah yang sering dilafazkan oleh seorang mukmin dengan zikirnya:

لا حول ولا قوة لإ بالله

Ketiga, melengkapkan dengan ilmu terutamanya ilmu al-Qur’an, tafsir, hadis, tauhid dan sirah. Termasuk juga dalam sumber kekuatan ialah ilmu-ilmu yang membantu kita membangunkan sumber insan dan menguruskan kehidupan dunia.


Keempat, melakukan amalan soleh sama ada dalam bentuk ibadat atau memberi khidmat kepada masyarakat, atau menunaikan kewajipan terhadap Allah, diri sendiri dan juga kepada orang lain. Amalan soleh mempunyai makna yang luas merangkumi setiap perkara yang mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t dan mendatangkan keredaan-Nya. walaupun berbudi kepada tanah atau belas kasihan kepada haiwan.


Kelima, tidak merasa lemah dalam menghadapi apa-apa situasi.


Keenam, mencari sumber rezki yang halal supaya tidak bergantung dengan orang lain. Dengan mempunyai pendapatan dan pencarian hidup yang sendiri, seseorang itu dapat menghindarkan diri dari meminta-minta dan meraih simpati daripada orang lain.


Semuanya itu bertentangan dengan sifat kekuatan yang dikehendaki oleh hadis ini. Mencari rezki bererti menunaikan hak diri sendiri, ahli keluarga yang kita wajib menyediakan nafkah perbelanjaan untuk mereka. Dengan mempunyai harta kita dapat menunaikan hak-hak kehartaan seperti zakat, sedekah dan memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan iaitu al-qardh al-hasan.

Selain itu, kita dapat meneyelamatkan diri kita dari harta yang tidak halal kerana itu akan menjejaskan hubungan kita dengan Allah yang maha kuat dan perkasa, tempat kembali segala kekuatan dan tidak kekuatan yang sebenarnya melainkan kekuatan-Nya.


Hadis ini memberi pengajaran bagaimana merawat penyakit-penyakit jiwa bagi menghalang ketidaktepatan, keraguan dan kerisauan. Apabila kita tersasar dari mencapai matlamat yang telah dirancangkan, tidak sepatutnya kita menyesal kerana apa yang kita usahakan itu tetap dikira sebagai usaha kita. Kegagalan seharusnya dibaiki dengan perancangan yang lebih teliti dan efektif, bukan dengan cara mengandai-andaikan apa yang telah berlalu.


Kesimpulannya, hadis ini memberi dorongan kepada kita menghimpunkan antara kekuatan rohani, fizikal, jiwa dan emosi kemudian mengaitkan kesemua perkara ini dengan keimanan kepada Allah s.w.t. dan menyerahkan kepada qadha’ dan qadar.


Kerjasama mestilah diwujudkan dalam masyarakat Islam. Orang mukmin yang kuat perlu mengerakkan saudara mereka yang lemah supaya sama-sama bergading bahu membina dan memperkasakan kekuatan umat.